my song

Friday, October 31, 2014

penulisan kreatif sem 2....KEPULANGAN YANG DINANTI....(biasanya)


Deruan angin yang sepoi-sepoi bahasa dari arah laut yang biru itu menyapa lembut pipi tua yang berkedut seribu itu. Wajah tua yang suram jelas menunjukkan rasa kesunyian dan kesepian. Di beranda rumah usang itulah, wajah tua yang bernama Mak Jah duduk menongkat dagu melihat keindahan ciptaan Tuhan itu sambil mata kuyu itu memandang  jalan yang baru bertar.
Mak Jah selalu begitu sejak kematian suaminya lima tahun yang lalu. Hidup keseorangan tanpa teman disisi mengundang seribu duka di hati tua itu. Sambil menghitung bilangan kereta yang entah kemana tujuannya, tangan kanannya membelai bulu kucing, Si Manja yang setia disampingnya dan mengharap agar membawa pergi sedikit kesunyian yang ditanggungnya.
Kerinduan pada anak-anaknya yang sibuk di kota menambahkan lagi luka di wajah itu. Kedukaan terus menggamit sanubari yang kesepian itu. Setiap petang, di beranda itulah menjadi saksi Mak Jah menunggu kepulangan anak-anaknya ke pangkuan si ibu. Walaupun tidak pernah di ucap kata rindu itu, tetapi wajah yang redup itu menceritakan sebuah penderitaan dalam menagih rasa sayang daripada anak-anak sendiri. Kenangan bersama anak-anak dan suami suatu ketika dahulu berlegar-legar di kotak fikirannya. Gelak tawa dan rasa berduka yang dilalui bersama dahulu di tayang kembali di mindanya.

Persoalannya, mengapa kenangan indah itu tidak terus hadir, sebaliknya hilang jejak sehinggakan dirinya kini di tinggalkan keseorangan kini. Kemana perginya sumpah janji permata hatinya dahulu untuk terus mencoret dan mengukir bahagia untuk si tua ini?
Menitis air mata tuanya mengenangkan semua itu. Tidak ingatkah anak-anaknya padanya? Jiwanya terus memutarkan kembali saat indah bersama, namun mata itu tersorot lagi ke jalan bertar itu berharap agar hadir sedikit senyum di taman hatinya.

Masih terbayang gelak tawa mereka sekeluarga di rumah usang ini dulu. Anaknya yang sulung seorang peguam, sudah beristeri dan kini menetap di ibu kota metropolitan, yang kedua bekerja sebagai arkitek dan turut tinggal di situ. Tidak terluang lagi masa untuk ibu tua di kampung ini. Anak-anaknya yang lain turut mengikut langkah si abang, mengejar kerjaya mencari kemewahan. Pernah dia menyuarakan rasa kesepian ini, namun akhirnya dia juga yang terpaksa mengalah. Bukan tidak pernah anak-anaknya mengajak dia tinggal bersama, tetapi hanya seminggu sahaja dapat dia bertahan. Jiwa kampungnya kuat benar penangannya. Dia tetap di tinggalkan keseorangan,walaupun ada bibik yang menemannya, tetapi yang dia mahukan adalah perhatian anak-anak. Apa gunanya hidup terkurung di bandar besar ini, andai kesunyian tetap dia tanggung. Sebaiknya dia pulang ke kampung, di hantar oleh si anak dengan seribu bebelan. Sayu benar hati tuanya.
Tapi apa boleh buat, jiwanya bukan di bandar itu, cara hidupnya sudah berbeza, sifat pentingkan diri sendiri, sombong bertahta di hati orang bandar. Udara bandar yang menerbangkan berjuta penyakit, berlainan benar dengan di kampungnya. Perkara yang sama turut terjadi di rumah anak-anak yang lain. Hanya seminggu dapat di luang. Permata hatinya itu terlalu sibuk dengan urusan kerja, 24 jam hanya untuk kerja semata. Nasib cucunya juga sama sepertinya, seharian di hantar ke Nursery. Apakah ini adat baru dunia sekarang?Tidak mustahil kes-kes penderaan bayi giat berlaku sekarang, siapa yang mahu jaga anak orang lain?
Teringat semua ini, bertambah sayu. Duduk di beranda rumah, menggamit memori lama. Tanah sawah di depan rumahnya yang menghijau membawa sejuta kedamaian. Sawah itu peninggalan suaminya yang tercinta. Di kerjakan sendiri dulu, tetapi kini kudratnya kian luntur,lalu di upah orang kampung. Harapkan anak-anaknya tiada seorang pun yang berminat, hendak di bandingkan dengan gaji mereka, apalah sangat.
Pernah mereka suarakan untuk menjual sahaja tanah sawah itu, ramai yang berminat, tetapi hati tua ini sayang dengan tanah itu, tidak mampu membenarkan ianya dijual, itulah kenangan dia dan arwah suaminya.
Jadi anak-anak malas melayan dia. Keras benar hatinya. Anak-anaknya tidak faham nilai tanah yang tidak seberapa itu, hasil daripada tanah itulah, dia dan arwah suaminya menyara mereka adik-beradik, menanggung mereka belajar sehinggalah berjaya sekarang. Lupakah mereka?Mengapa akhir-akhir ini ingatan kepada anak-anaknya selalu datang?Inilah rutinnya jika tiada kerja di bendang atau kebun sayur di belakang rumah. Apa lagi yang dia mampu lakukan, dalam usia begini. Bagaimana untuk dia mengusir kesepian itu?Sesekali ada juga jiran tetangga yang datang berceloteh di bawah pohon mempelan, banyak yang dibicarakan, namun makin lama, hal orang juga yang dibualkan, itulah yang dia malas mahu melayan mereka. Itulah sikap orang kampung.
Masih dia ingat dulu, anak-anaknya suka menolong dia dan suaminya di bendang walaupun dicegah keras oleh si ayah, tetap degil mereka itu. Lumpur dan binatang penghisap darah itu tidak pernah mereka takut atau geli, yang ada cuma rasa keseronokan. Begitulah mereka sekeluarga, kadang-kadang melayan anak-anak bermain, gelak tawa mereka silih berganti. Indah sungguh waktu itu. Bila malam, si anak akan berebut-rebut mengadap si ayah seusai solat maghrib untuk diajar mengaji. Begitulah mereka setiap malam. Kemiskinan hidup waktu itu tidak pernah menghalang kegembiraan mereka. Selesai sahaja solat berjemaah anak-anaknya akan menyiapkan kerja sekolah sambil ditemani dia dan suami. Tea kosong terasa sungguh menyelerakan. Sejak kecil lagi anak-anaknya menunjukkan kepandaian,jadi tidak hairanlah sekarang mereka memangku jawatan tinggi. Tetapi tiada gunanya semua itu,jika sekarang sendirian dia di rumah lama ini,hanya memori lama sebagai penemannya. Jika di fikir-fikirkan, sebaiknya mereka hidup seperti dulu, aman sahaja.
Pernah juga dirinya dicaci dan di hina oleh mulut-mulut busuk orang kampung yang mungkin tidak senang dengan dirinya. Petang itu, masih tergiang-giang di telinganya, ketika melewati warung kecil di seberang jalan itu, Limah yang tinggal selang dua rumah dengan rumahnya bercerita tentang anak-anaknya.
“Eh, kau nak tau aku tak ingin anak-anak aku belajar tinggi-tinggi,sudahlah modalnya besar, tak berbaloi kalau dah berjaya lupa mak bapak macam anak si kiah tu.”
“Tak baik kau cakap macam tu Limah, dengar dek Kiah mahu terasa orang tua tu, haru jadinya.”sampuk satu suara disebelahnya.
“Betullah aku cakap tu. kau tengoklah anak-anak si kiah tu, semuanya berjaya, kerja besar-besar, tapi ada kau orang nampak diorang balik jenguk mak diorang, tak adakan. Tak gunalah harta banyak tapi mak dibiarkan.”tambah si Limah. Sakit hati ini mendengarnya. Sabar je.
Seronok mereka bercerita tentang hal orang lain, hal sendiri tidak terjaga. Panas telinga ini petang itu. Istighfar aku panjatkan. Inilah lumrah hidup di kampung, tetapi tidak semua begitu. Masih ada orang kampung yang peduli pada diri tua ini. Telinganya sudah terbiasa barangkali dengan cakap-cakap sumbang seumpama itu. Malas untuk difikirkan.
Hal anak-anak memang mengganggu minda sempit ini. Dengan kesihatanku yang tidak berapa baik, mengundang sedih dan kecewa. Jarang sekali anak-anak bertanya khabar, walhal dunia sekarang penuh dengan teknologi tinggi dan digelar pula dunia tanpa sempadan dan maklumat dihujung jari.Walaupun mereka tidak dapat pulang ke kampung, telefon rumahnya tidak pernah menerima panggilan permata hatinya, meskipun seorang. Jika ada pun, mereka hanya beritahu bahawa duit bulanan telah dibankkan, itu pun tidak lebih lima minit. Sayu benar nasibnya. Sibuk sangatkah anak-anaknya dengan tugas masing-masing, sehingga tiada masa untuk ibu tua ini?
Sesekali bab-bab kematian berlegar-legar di benaknya, tidak sanggup rasanya pergi mengadap Illahi seorang diri, dia ingin sekali menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama-sama anak-anak, menantu dan cucunya. Sakit peningnya tiada yang peduli, tahap kencing manis dan darah tingginya makin kronik, langsung tidak dipedulikan. Ubat pun di hantar kulinya yang di amanahkan mengusahakan bendangnya. Kini rasanya jantungnya pula menghadapi masalah, temujanji doktor di pekan dibiarkan begitu sahaja.
Mungkin sudah tiba waktunya untuk dia mengikut suaminya. Tinggalkan sahaja dunia yang penuh derita ini. Tidak sanggup rasanya dia menanggung kesepian ini. Banyak hal yang perlu dia uruskan sebelum jasadnya tidak lagi bernyawa. Harta-harta yang ada perlu diuruskan, agar tidak timbul pelbagai masalah kelak, biar teman kuburnya dengan suami. Persoalannya, haruskah dia mewasiatkan semuanya untuk anak-anaknya,mahukah mereka terima dan menjaganya?Selama ini mereka langsung tidak menunjukkan minat. Pening juga dan kusut fikirannya. Apakah wajar jika aku mewakafkan semuanya untuk anak-anak yatim dan pembinaan masjid atau surau sahaja?Sekurang-kurangnya, pahalanya tetap menyusuri kami suami isteri. Tidaklah sia-sia sahaja harta itu. Berkali-kali difikirkan, namun masih samar jalan keluarnya. Haru benar hidupnya, tetapi dia tetap mahu selesaikannya, agar tenang jiwanya pergi mengadap Sang Pencipta.
Ada benarnya juga kata-kata orang dahulu, ibu bapa boleh menjaga anak yang ramai, tetapi anak-anak yang ramai belum tentu boleh menjaga ibu bapa seorang.Sekarang pun di dada akhbar banyak cerita tentang anak-anak membuang ibu bapa,bunuh dan menyiksa mereka.Tegar benar si anak,tidak ingatkah mereka tentang jasa dan pengorbanan yang di berikan?Sedih hatinya mengingatkan semua itu.Adakah anak-anaknya juga begitu?Walaupun dia tidak dibuang ke tempat lain,tetapi dia tetap sendirian di rumah usang ini.Sesekali batuk-batuk kecil kedengaran.Angin-angin petang dari bendang mengusir sedikit kesayuan hatinya.
Pernah juga suara-suara sumbang penduduk kampung yang kononnya prihatin dengan nasibnya menyuruh dia tinggal di rumah orang-orang tua sahaja.Sakit peningnya ada yang menjaga dan di pantau oleh petugas di situ.Kata mereka kesihatanku kini makin tidak menentu.Aku faham,tetapi mereka tidak rasa apa yang aku rasa,jika di takdirkan aku pergi,aku ingin tamatkannya di rumah arwah suaminya ini.Tinggi nilainya kenangan yang ada di rumah ini.Dia tidak akan menyusahkan orang-orang kampung,dia masih boleh hidup sendiri,meskipun tanpa anak-anak di sisi.Beginikah nasib orang tua sepertinya?
Tersentak jantungnya tiba-tiba daripada mengingati semua itu,kotak memorinya berhenti berputar apabila terdengar sahaja bunyi ‘kling’ ‘kling’ ‘kling’ loceng motosikal Ah Chong yang berada di jalan bertar itu.Ah Chong akan berhenti dari satu rumah ke satu rumah untuk bertanyakan jika penduduk kampung ada besi buruk yang ingin dijual.Dia memang terkenal dengan tauke besi buruk,walaupun perniagaannya secara kecil-kecilan.Gigih benar dia mencari rezeki buat keluarga tercipta,sama seperti arwah suaminya dahulu,kesihatan tidak pernah menghalang dia mencari rezeki.Arwah suaminya tahu tanggungjawab yang dipikulnya.Rezeki yang halal menjadi keutamaan buat anak-anaknya membesar.Tetapi kini mengapa mereka tidak pernah menghargai atau paling tidak mengingati dirinya dan suami?Tidak ingatkah mereka dengan semua itu?Peritnya hidup ini.Namun tidak pernah timbul rasa kesal di hatinya.Semuanya ikhlas untuk anak-anak,meskipun ini yang mereka terima.Anak-anak Ah Chong selalu pulang ke kampung menjenguknya dan mengambil berat tentang kesihatan Ah Chong.Anak-anaknya pernah melarang Ah Chong daripada meneruskan perniagaan besi buruknya,tetapi Ah Chong yang berkeras.Katanya inilah warisan dan kerjanya sejak muda lagi,sukar untuk di hentikan.Anak-anaknya senyum sahaja dengan kerenah si bapa,faham benar dengan sikapnya.bahagia hidup mereka.Saling bertanya khabar dan berkongsi apa sahaja.Apabila datangnya perayaan tahun baru cina,anak-anak dan menantunya pulang menyambut dengannya,tidak pernah biarkan si ayah menyambut sendirian.Bertuahnya si Ah Chong,mengapa tidak dia?Cemburu datang bertandang di kala mengingatkan semua itu.Alangkah bahagianya hidupnya jika anak-anaknya juga begitu.Meleret dia tersenyum.
Asyik betul mindanya mengingatkan si Ah Chong,yang hanya tinggal bayang motosikalnya dan diselang seli dengan bunyi ‘kling’ ‘kling’ itu.Setiap orang punya kisah hidup sendiri.Berdosanya dia menangisi nasib dan menyalahkan takdirnya.Astaghfirullah.
Leka dan jauh benar fikiranya melayang.Jarum jam sudah menunjukkan angka 6 petang,sudah senja rupanya.Tidak sedar masa bergerak terlalu pantas.Jauh juga akal fikirannya pergi membuka lembaran lama.Batuk-batuknya kian kuat datang,sesekali terasa sakit dadanya.malas rasanya mahu bangun mengambil ubat dalam peti ais untuk menghilang sedikit rasa sakit ini.Saranan doktor dipandang enteng sahaja.Pelbagai nasihat yang di berikan doktor kepadanya,doktor hospital kerajaan ataupun swasta.Penat rasanya turun naik hospital besar di pekan itu untuk menyambung ubat-ubatnya.Jika benar ajalnya sudah sampai,dia tidak dapat menghalangnya.Apakah benar ajalnya sudah tiba waktunya?


Tidak dapatkah dia bertemu anak-anaknya dan tidak tercapaikah hasratnya untuk mengisi sisa-sisa akhir masanya itu dengan anak-anak,menantu dan cucunya.Makin sebak hati tuanya ini.keinginannya untuk berbicara dengan anak-anaknya semakin membuak-buak,lalu langkah diatur ke telefon rumah di ruang tamu rumah itu.Nombor anak sulung didail,namun suara perempuan yang kedengaran,langsung tidak difahami butir bicara yang keluar daripada mulut permpuan itu.Dipanggil nama anaknya itu berkali-kali namun tiada yang menyahutnya.Tetap sabar.nombor anaknya yang lain dicuba,namun masih seperti tadi,suara perempuan yang ala-ala mat salleh yang mengangkatnya.Kemana semua anaknya pergi?harapan yang segenggam kini hanya tinggal sebesar zarah sahaja.Sibuk benar mereka itu,sehinggakan panggilan daripadanya tidak dipedulikan langsung.Tidak usahlah dia menyesakkan kotak fikirannya lagi dengan hal anak-anak.
Melihat daun jendela yang belum tertutup.dia menghayunkan langkah kakinya ke situ,namun belum cukup gerak langkahnya,tiba-tiba sahaja matanya berpinar-pinar dan pandangannya gelap gelita.dirinya rebah di tengah ruang tamu itu.Mungkin kini memang benar ajalnya sudah tiba,semua wajah-wajah insan yang dia sayang bermain-main diruangan mata.
Wajah suaminya yang tersenyum dan wajah anak-anak yang sedih dan seperti ketakutan dapat dilihatnya dengan jelas. Dia tidak kesal jika semua hasratnya tidak tertunai, kerana dia tahu Allah S.W.T lebih tahu daripadanya dan ada hikmahnya di sebalik semua ini. Ada yang direncanakan yang dia sendiri tidak tahu. Kini dia hanya pasrah dan redha atas semua ketentuan yang telah ditetapkan untuknya.Walaupun ada sedikit kekecewaan, namun dia terima. Dia mahu pergi secara aman dan tenang. Dapat dia rasakan kini, nyawanya dikeluarkan daripada jasadnya. Malaikat yang ditugaskan mengambil nyawanya sedang menjalankan tugas itu, lalu kalimah syahadah diucapkan dengan tersekat-sekat, diselangi sedikit rasa sakit mungkin.
Doa dipanjatkan kepada tuhan agar diampunkan segala dosa-dosaku buat anak-anaknya, kemaafan dikirimkan, supaya hidup mereka tidak diselubungi dosa dan aman selalu. Kini nyawanya hanya tinggal di hujung satu penghidupan, bila-bila masa sahaja nyawa dan jasadnya akan terpisah. Dan begini rupanya pengakhiran hayat si tua yang menanti kepulangan yang tidak pernah muncul-muncul. Penantian yang hanya sia-sia. Rindu si tua yang tidak pernah disambut dan terbalas. Kenangan di rumah usang ini menemui jalan penamatnya seiring hayatnya. Kerinduan itu ditinggalkan, sudah berkurun menjadi peneman detik hidupnya. Biarlah rindu itu berlabuh di mana-mana pelabuhan yang teguh. Inilah lumrah hidup, biarpun permata hati sendiri.

No comments:

Post a Comment